MENU

LENGGONG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan perasmian serentak Pejabat Daerah & Tanah Lenggong dan Pejabat Agama Daerah Lenggong di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.

Turut hadir Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Gazali Jalal, barisan Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

YAB Ahmad Faizal di dalam ucapannya berharap pembinaan kedua-dua premis itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi setempat serta limpahan manfaat  kepada negeri Perak.

“Diharapkan juga semoga pembinaan premis baharu Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong serta Pejabat Agama Daerah Lenggong, akan memberikan semangat baru kepada serta keselesaan kepada kakitangan di jabatan ini, selain memberikan kemudahan kepada masyarakat di daerah kecil Lenggong ini,” katanya.

Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong yang bernilai RM4.3 juta mula dibina pada 9 November 2011 dan siap pada 29 Mac 2013.

Bangunan baharu ini lebih moden dan luas, mengandungi sebuah bilik gerakan yang boleh memuatkan 50 orang ahli mesyuarat, tiga buah bilik mesyuarat kecil, sebuah bilik kebal, sebuah bilik server dan tiga ruang kerja yang mampu menempatkan sehingga 80 kakitangan pada satu-satu masa.

Manakala Pejabat Agama Daerah Lenggong yang bernilai RM3.3 juta, mula dibina 14 November 2011 dan diserahkan kepada kerajaan pada 12 Disember 2013.

Bangunan ini dibina bagi menggantikan bangunan asal Pejabat Pentadbiran Agama Islam Lenggong di tengah Pekan Lenggong yang telah dibina pada tahun 1958.

Bangunan pejabat baharu ini terletak di persimpangan pertama jalan masuk ke Pekan Lenggong dari Jalan Kuala Kangsar – Gerik, di dalam Mukim Temelong.

Sumber : Suara Perak